Pecinta Basikal Tua

                                                                       MOGA HOBI INI TERUS BERSINAR

                   Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pecinta Basikal Tua di Malaysia. Sudah sangat lama jari jemari ini tidak melontarkan sesuatu tentang Dunia Basikal Tua yang semakin hari semakin hangat perkembangannya baik di dalam atau di luar Negara. Perkembangan ini dapat dilihat melalui paparan melalui media bertulis mahupun elektronik. Kemajuan teknologi pada masa kini menyebabkan hobi ini berkembang dengan cepat sekali berbanding dahulu. Disebabkan itu amat mudah untuk kita mendapatkan maklumat atau salasilah tentang kewujudan sesuatu jenama basikal tua, syarikat-syarikat pengedar, kelab-kelab yang pernah wujud sewaktu ketika dahulu dan juga sekarang, program atau aktiviti pada masa sekarang yang akan dianjurkan di setiap tempat dan semestinya juga alat-alat ganti atau tempat untuk berjual beli basikal tua. Semuanya mudah dan seperti kata-kata yang di guna pakai “ semuanya di hujung jari anda”. Cuma mahu tidak mahu sahaja untuk kita menggunakan sumber ini dengan bijak.

                    Namun begitu ini melalui pembacaan, pengalaman dan pemerhatian  saya sejak dari mula mencintai hobi Basikal Tua ini sering berlaku salah faham, salah pengertian salah sangka dan salah tafsiran yang boleh menyebabkan terhapusnya hobi ini satu hari nanti. Saya akan huraikan satu persatu apa yang saya fahami dan mengerti mengikut pendapat saya sendiri dan sekiranya saya salah harap di perbetulkan. Tidak salah bagi kita untuk saling tegur menegur antara satu sama lain walaupun perkara itu pahit untuk di dengar tetapi sebagai rakyat Malaysia yang majoritinya berbangsa Melayu gunalah bahasa yang sopan dan penuh adap tatasusila.

                   Untuk berkembangnya sesuatu hobi basikal tua itu biasanya ia melibat dua perkara asas ini yang memberi impak tersendiri tetapi mengikut kepentingan dan keperluanya iaitu:

Perkara 1.

  1. Individu
  2. Persatuan/Kumpulan/Kelab
  3. Pemimpin masyarakat
  4. Pemerintah

Perkara 2

  1. Peniaga/ Usahawan/ Syarikat
  2. Media
  3. Perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi

Individu

Bagi individu yang mencintai basikal tua ini tidak kira yang pertama bermain hobi ini (OTAI) atau yang baru berjinak-jinak biasanya seboleh-boleh akan mencari kepuasan diri untuk mengumpul seberapa banyak serta menanam impian untuk memiliki basikal, alat ganti dan aksesori yang hebat sebagai koleksi peribadi. Bukan setakat itu sahaja mereka ini juga akan mencari ilmu yang berkaitan basikal tua melalui pembacaan dan pengalaman yang ditempuh sepanjang menceburi hobi ini. Dan individu ini juga di bahagikan kepada pengumpul/ kolektor  atau pengumpul/ kolektor dan peminat acara kayuhan basikal tua.

Persatuan/Kumpulan

Dengan menyertai persatuan atau kumpulan basikal tua hobi ini akan dapat berkembang dengan lebih maju dan harmoni. Ini kerana jika di lihat melalui individu hobi ini agak sukar berkembang berbanding bergerak secara kumpulan. Pelbagai aktiviti boleh di adakan sekiranya persatuan atau kumpulan itu bergiat aktif untuk mempromosikan basikal tua ini seterusnya dapat menarik minat dikalangan masyarakat.

Pemimpin Masyarakat

Sokongan dan pemimpin masyarakat setempat untuk memberi khidmat nasihat dan  dorongan dalam memperkembangkan lagi hobi ini amatlah di galakkan. Ini kerana sesetengah program atau acara yang besar memerlukan sokongan daripada pemimpin masyarakat setempat agar program yang dilaksanakan dapat berjalan lancar.

Pemerintah

Pemerintah sebagai peneraju utama Negara perlu memastikan setiap persatuan/kumpulan yang berdaftar yang dapat memberi kebaikan dan sumbangan kepada masyarakat, serta hubungan di antara Negara dengan Negara-negara lain di beri perhatian sewajarnya. Kerana melalui sesuatu hobi atau minat yang sama  hubungan  baik antara sesebuah Negara dapat terjalin dengan lebih baik seperti penganjuran sesuatu acara diperingkat antarabangsa seperti pameran kereta antik antarabangsa, jambori vespa antarabangsa, Kayuhan Basikal Tua 2 Negara dan sebagainya. Penyertaan daripada Negara-negara lain secara langsung memberi impak yang lebih positif kepada Negara dalam mempromosikan Negara, budaya, dan juga masyarakat setempat.

 Peniaga/Usahawan

Sebenarnya peranan mereka inilah yang lebih utama dalam menjadikan hobi ini wujud dan ada sehingga kini. Mereka ini yang membawa masuk basikal, alat-alat ganti dan aksesori basikal yang dahulunya seperti barang-barang yang mudah didapati sekarang. Namun begitu akibat perubahan masa tahun demi tahun barang yang dahulunya senang didapati dan harganya murah (bergantung kepada jenis basikal/alat ganti/ aksesori) kerana permintaannya banyak, telah menjadi sesuatu yang eksklusif pada masa sekarang akibat kurangnya barang-barang dan banyak yang telah pupus akibat perkembangan zaman dan teknologi. Maka tidak hairanlah sesuatu barang itu boleh menjadi mahal atau murah bergantung kepada peniaga/usahawan.syarikat itu sendiri. Sebagai pembeli kita perlu berfikiran rasional samaada sesuai atau tidak untuk kita membeli barangan itu setimpal harga, barang dan kemampuan kita.

 Media Massa

Peranan media amatlah penting sekali dalam apa jua aspek untuk memberi pendedahan dan maklumat yang berguna mengenai hobi basikal tua. Kalau dahulunya media bercetak yang lazim digunakan untuk mempromosikan atau memperkenalkan sesuatu perkara. Namun sekarang ia telah berkembang dengan selangkah lagi melalui media elektronik yang lebih canggih berbanding dahulu. Kalau dahulu media elektronik hanya melalui hebahan di radio, televisyen, telefon dan papan iklan. Sekarang dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi semuanya berada di depan mata segala maklumat di setiap pelosok dunia. Lantaran itu tidak hairanlah setiap media massa berlumba-lumba menulis dan memaparkan yang terbaik untuk tatapan masyarakat untuk membaca dan memahaminya. Justeru itu, pemahaman yang mendalam, mengkaji dan memahami amatlah di titik beratkan kepada diri kita sebelum menerima maklumat itu samaada benar atau tidak untuk membuat kesimpulan.

Perkembangan Teknologi, Maklumat dan komunikasi

Tidak disangkal lagi perkembangan teknologi dari segi penyampaian maklumat atau komunikasi banyak membantu memperkembangkan hobi basikal tua. Segala hebahan maklumat sukar untuk di kawal sepenuhnya. Itu semua bergantung kepada setiap tapisan individu untuk menggunakan segala kemudahan yang ada untuk menyuarakan dan bertukar pendapat, perkongsian maklumat  dan juga berguna untuk mendatangkan pendapatan. Kalau penggunaanya baik maka baiklah ia dan sebaliknya kalau di salah gunakan.

                 Apa yang saya hendak nyatakan dalam penulisan saya ini setelah menerangkan dua perkara asas yang memainkan peranan penting dalam memperkembangkan Hobi Basikal Tua ini ialah setiap pihak memainkan peranan masing-masing dalam memartabatkan hobi ini kearah yang lebih baik. Kepada individu yang mencintai hobi ini saling hormat menghormati dan jujur dalam bermain hobi ini sangatlah penting sekali. Mereka yang berpengalaman tunjukkan jalan dan cara yang baik kepada yang muda untuk memajukan hobi ini. Bak kata pepatah “Yang tua di hormati, yang muda di sayangi.” Setiap persatuan/kumpulan basikal tua perlu memastikan ahlinya bekerjasama dan bersatu padu dalam memajukan persatuan masing-masing. Hubungan yang baik di antara satu persatuan dengan persatuan yang lain sangat-sangat di galakkan agar ia menjadi komuniti yang semakin besar. Bagi pemimpin masyarakat dan pemerintah bantuan khidmat nasihat dan sokongan amatlah diharapkan kerana melalui sokongan mereka hobi basikal tua ini dapat diketengahkan dan dapat menarik lebih ramai peminat tanpa mengeksploitasikan mereka ini untuk kepentingan peribadi sedikit pun.

                     Bagi golongan peniaga atau penjual alat ganti basikal tua, harga yang ditawarkan  adakalanya sangat tidak terjangkau seiring dengan  perkembangan basikal tua yang dapat di kategorikan sebagai barang antik. Namun begitu, itu adalah hak mereka untuk menetapkan harga. Sebagai pembeli  kita juga punya hak dan menilai samaada harga yang berpadanan dengan harga, nilai dan kemampuan kita. Media massa tidak dapat di nafikan dalam membantu memperkembangkan hobi basikal tua ini. Namun begitu penulisan atau paparan yang penuh dengan maksud tersirat kadangkala sukar di fahami bagi segelintir masyarakat menyebabkan berlakunya salah faham dan salah tafsiran. Oleh itu penulisan yang sewajarnya secara jelas dan harmoni sangat di perlukan pada masa-masa akan datang.

                     Perkembangan teknologi yang semakin pesat dalam kemudahan komunikasi seperti jaringan internet menjadikan hobi ini melintasi sepadan. Kemudahan seperti laman-laman web, laman sosial dan laman blog menjadikan hobi ini menjadi lebih indah. Segala perkongsian maklumat, acara kelab dan sebagainya dapat di kongsi disini. Menyuarakan pendapat dan pandangan juga dapat dinyatakan. Namun begitu apa yang saya kesali sejak akhir-akhir ini mengenai penggunaan kemudahan laman-laman ini untuk berbalah antara satu sama lain hanya kerana salah tafsiran dan pendapat masing-masing diblog atau laman-laman sosial tanpa duduk berbincang dan memahami sepenuhnya tujuan penulisan atau maksud yang di sampaikan. Adakalanya penulisan itu di tujukan kepada seseorang tetapi yang lain pun turut terasa kerana tidak memahami secara jelas. Laman-laman ini seperti ini merentasi sempadan dan akibatnya semua maklumat samaada buruk atau baik dapat di ketahui oleh orang lain yang adakalanya tidak tahu menahu. Sebagai Pecinta Hobi ini yang mungkin ada sesetengahnya sudah bertahun-tahun berkecimpung dalam hobi ini sudah semestinya lebih memahami perkara seperti ini. Dan kepada semua orang yang berilmu gunakanlah kemudahan yang ada untuk arah kebaikan dan terangkan perkara yang sebenar kepada mereka yang tidak memahami perkara sebenarnya. Jika tidak faham hubungi orang yang dirasakan bersalah dan minta penjelasan. Janganlah berjumpa pun tidak pernah apatah lagi berkawan kita telah membuat kesimpulan kita sendiri. Itu adalah perkara-perkara yang sangat tidak elok dan tidak digalakkan di dalam Islam.

                       Penulisan saya kali ini mungkin menyinggung perasaan hati dan minda seseorang. Saya minta maaf sekiranya penulisan saya dianggap menyebelahi mana-mana pihak atau sebagainya. Saya mungkin di tuduh penjilat, penakut atau sebagainya kerana dilihat, di dengar, atau kelihatan seperti menyebelahi sesuatu pihak. Tetapi pada hakikatnya saya menulis kerana saya sayangkan Hobi Basikal Tua ini dan sayangkan kesemua pecinta hobi ini baik disini atau di luar sana. Sekiranya ada permasalahan sila berjumpa dan menghubungi antara satu sama lain. Kerana setiap permasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya. Kalau ada silap sama-sama bermaafan sesama kita. Itu jalan yang terbaik dan di redhai oleh Allah.

Saya memohon ampun dan maaf sekali lagi kerana penulisan ini tidak ada kaitan dengan sesiapa pun hanya melalui pembacaan, pemerhatian, dan pengalaman. Pandangan didalam penulisan ini di buat atas kesimpulan dari segala aspek yang saya rasakan perlu. Seperti yang saya tegas kan di awal penulisan blog ini. Saya membuat blog ini untuk mencari seberapa ramai kenalan dan sahabat basikal tua dan mengharapkan agar hobi ini terus bersinar. Sekiranya pandangan saya ini salah sila komen di ruangan yang disediakan. Terima Kasih.

Wassalam

 “LESTARIKAN NOSTALGIA WARISAN SILAM”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: