Archive for the ‘KELAB BASIKAL TAIPING’ Category

Nostalgia Basikal Silam Kelab Basikal Taiping

Assalamualaikum.

Pagi tadi sewaktu sibuk mengajar ADAP disekolah saya terbaca di akhbar berita harian tentang aktiviti Kelab Basikal Taiping. Berikut adalah tulisan diakhbar tersebut.

Nostalgia basikal klasik

Oleh Hafizan Taib
bhnews@bharian.com.my

Peminat mempunyai kelab, rancang aktiviti untuk kepentingan bersama

MEMILIKI basikal klasik atau lama dianggap pemiliknya sebagai mengembalikan nostalgia zaman silam ketika jentera dua tayar itu menjadi kenderaan pengangkutan utama dan kegilaan orang ramai, khususnya muda mudi di negara ini satu ketika dulu.

Seperti juga kereta dan motosikal klasik atau lama, basikal klasik juga dianggap istimewa dengan gaya tersendiri kerana untuk mendapat serta memilikinya memerlukan kesabaran dan pengorbanan dari segi masa dan wang ringgit yang bukan sedikit.

Antara jenama basikal klasik terkenal dan popular yang dikeluarkan sekitar tahun 1930-an hingga 1960-an ialah Birmingham Small Arm (BSA), Raleigh, Royal Enfield, Hercules, Humber, Rudge dan Sunbeaem.

Pengerusi Kelab Basikal Klasik Kampung Banggol Pasir (KBKKBP), Changkat Jering, Taiping, Perak, Zaidan Abdul Wahab, berkata menyedari hakikat itu, pihaknya menubuhkan kelab terbabit dengan tujuan menghimpunkan pemilik dan penggemar basikal klasik supaya dapat mengeratkan silaturahim serta bertukar idea dan maklumat mengenainya.

Beliau berkata, penubuhan kelab itu juga membolehkan ahlinya merancang dan menjalankan pelbagai aktiviti untuk kepentingan bersama.

RIADAH: Ahli Kelab Basikal Klasik Kampung Banggol Pasir, Changkat Jering melakukan aktiviti bersama untuk merapatkan silaturahim.

“Sejak penubuhannya, kita berjaya menganjurkan pelbagai program dan aktiviti berbentuk kemasyarakatan dan kebajikan untuk disertai semua ahli. Kita juga pernah terbabit dalam perarakan Hari Kemerdekaan yang dijalankan di bandar ini tahun lalu.

“Selain aktiviti riadah dan rekreasi, kita juga sering mengadakan majlis perhimpunan supaya ahli dapat berjumpa sesama sendiri untuk berkenalan dan bertukar idea serta maklumat mengenai basikal klasik.

“Kita juga menitikberatkan kerjasama di kalangan ahli KBKKBP dengan menganjurkan majlis amal dan keraian, gotong-royong serta yang lain, malah kita turut membantu sekiranya ada ahli yang mengadakan majlis keraian sendiri,” katanya ketika ditemui di Taiping, baru-baru ini.

Zaidan berkata, setakat ini kelab yang dinaungi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Trong, Datuk Rosli Hussin itu disertai kira-kira 40 ahli dari pelbagai peringkat usia dan latar belakang dengan majoriti ahli adalah pemilik basikal klasik keluaran tahun 1930-an hingga 1960-an.

UNIK: Basikal klasik BSA Airborne keluaran buatan 1941 dari England amat istimewa kerana boleh dilipat.

Beliau berkata, antara jenama popular basikal klasik adalah Birmingham Small Arm (BSA), Raleigh, Royal Enfield, Hercules, Humber, Rudge dan Sunbeaem.

“Setiap model basikal klasik yang dikeluarkan pada eranya memiliki keistimewaan tersendiri. Ini membuatkan penggemar atau peminatnya berasa bangga memilikinya,” katanya.

Beliau berkata, biarpun majoriti peminat basikal klasik adalah golongan berusia, tetapi dengan aktiviti konsisten dan hebahan berterusan, generasi muda dan belia juga akan turut serta menyertainya supaya mengenali kenderaan dua tayar klasik itu dengan lebih dekat.

Menurut Zaidan, pihaknya akan berusaha menarik golongan muda dan belia untuk meminati basikal klasik menerusi aktiviti dijalankan dan menerusi cara itu juga akan merapatkan hubungan antara golongan tua dan muda dari era berbeza.

“Yang pasti, majoriti anak muda yang menyertai aktiviti anjuran kelab ini walaupun di kalangan bukan ahli tetapi ia sudah cukup bagus bagi menarik penyertaan mereka di dalam kegiatan berfaedah seperti ini selain mendampingi golongan lebih tua,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli KBKKBP, Abdul Rashid Ahmad, 47, dari Pulau Pinang berkata, dia mula meminati basikal klasik sejak zaman remajanya dan berasa bangga apabila berjaya memiliki basikal klasik idamannya, BSA Airborne buatan 1941 dari England.

Beliau berkata, BSA Airborne itu amat istimewa kerana ia dikeluarkan khusus untuk tujuan perang bagi digunakan tentera British dalam Perang Dunia Kedua pada awal 1940-an.

Katanya, satu lagi ciri istimewa basikal model itu ialah ia boleh dilipat dua serta ringan.

“Saya mempunyai dua basikal klasik model ini dan ia amat saya sayangi kerana bukan mudah untuk mendapatkannya.

“Model pertama iaitu rangkanya saja saya peroleh kira-kira lima tahun lalu dari seorang kenalan yang menjualnya dengan harga RM2,000 dan selepas itu saya menjelajah dari satu kedai ke kedai basikal lain di beberapa negeri untuk menghimpunkan semua alat, aksesori dan komponennya hingga lengkap menjadi sebuah basikal seperti keadaan asalnya.

“Biarpun terpaksa berkorban masa dan wang ringgit tetapi saya puas kerana impian saya terlaksana,” katanya yang turut mempunyai beberapa basikal klasik lain dari jenama Raleigh.

Abdul Rashid, seorang kakitangan Jabatan Penjara Pulau Pinang berkata, minatnya itu turut dikongsi bersama isterinya, Jamilah Omar, 42, yang banyak membantu dan memberi sokongan moral kepadanya.

Ketika ditanya mengenai koleksi basikal klasik BSA Airbornenya, Abdul Rashid berkata, dia tidak berhasrat menjualnya biarpun ditawarkan dengan harga yang tinggi.

“Saya tidak akan menjualnya malah akan terus menambah koleksi basikal model ini sekiranya terjumpa dan berupaya memilikinya. Mungkin koleksi basikal klasik saya akan diwarisi tiga anak saya yang sudah mula menunjukkan minat terhadapnya,” katanya.

 

* Semakin Hari orang semakin meminati hobi ini. Ayuh kita lestarikan warisan silam ini*

NOSTALGIA WARISAN SILAM