Archive for the ‘soalan’ Category

Melestarikan Basikal Tua Tanggungjawab Siapa?

Assalamualaikum dan salam sejahtera

Kepada semua rakan-rakan pengunjung Blog Nostalgia Basikal Tua khasnya untuk Pejuang dan Pecinta Basikal Tua di Malaysia dan lingkaran Nusantara atau seluruh dunia.

Setelah lama tidak menulis catatan atau memoir terindah tentang Basikal Tua ini tentunya banyak atau idea-idea yang boleh di kongsi dan dicurahkan  tanpa memerah keringat atau kudrat. Hanya sedikit senggangan masa dan sedikit pergerakkan jari jemari untuk melontarkan ilham yang wujud hasil dari kurniaan Yang Maha Esa.

Berbalik tentang lamanya saya tidak menulis bukanlah kerana kekurangan medium atau bahan untuk menulis tetapi lebih ke arah untuk memikirkan bagaimana untuk meneruskan kesinambungan melestarikan serta memelihara dan melonjak naikkan hobi ini seangkatan dengan hobi-hobi lain yang lebih bersifat terkehadapan. Walaupun tidak dinafikan hasil perbualan dengan yang terdahulu menyatakan hobi ini telah lama berkembang biak dengan baik di masa dahulu. Namun pada diri saya, apalah gunanya bekembang baik sesuatu hobi itu tanpa catatan atau coretan yang lebih mudah untuk dinilai dan dihayati.

Umpamanya kita menceritakan perihalan sesuatu binatang (Gajah sebagai contoh) kepada  mereka yang tidak pernah melihat binatang tersebut. Maka pelbagai pendekatan dan perihalan kita gandingkan untuk menceritakan segala aspek tentang binatang tersebut. Walaupun ada yang hampir faham tentang susuk tubuh dan rupa bentuk Gajah tersebut masih tetap tidak sama dengan hanya kita lampirkan sekeping gambar rupa seekor Gajah. Ternyata ianya lebih mudah dan sangat jelas untuk kita terangkan tentang Gajah.

Disebabkan hal itu saya telah berpesan dan menanamkan dalam diri saya bahawa setiap program yang dihadiri (bersesuaian) jangan lupa di gambarkan suasana melalui sekeping foto. Kerana dengan hanya sekeping foto, mulut tidak perlu banyak berbicara tangan tidak perlu banyak menulis tetapi hanya memerlukan sepasang mata dan hati untuk menghargai dan menghayati suasana yang mungkin cukup indah, sedih, tawa, hampa, meriah, duka dan sebagainya.

Pembakar Semangat Untuk Terus Berjuang Melestarikan Nostalgia Warisan Silam

Dari awal pembabitan saya dalam hobi ini, jenuh dan letih saya mencari mereka yang sama dalam lingkungan hobi ini walhal begitu ramai pecinta hobi ini disuatu masa dan ketika itu. Namun begitu dengan adanya kemudahan internet maka disitulah peluang saya mencari penghobi Basikal Tua ini dengan mewujudkan blog ini sebagai medium agen pencari sesama hobi. Dan disini bermulalah sinar baru dunia hobi Basikal Tua dengan berjumpanya kenalan-kenalan baru yang selama ini juga mencari-cari kenalan sesama hobi ibarat menjejak kasih yang lama terputus. Diatas minat yang tidak terpadam lagi, umpama “Sumbu Pelita Baru Berjumpa Minyak” semakin berkobar-kobar semangat saya untuk mendalami hobi ini dan disitulah terjumpanya perkembangan hobi Basikal Tua ini di rantau Asia seperti di Indonesia dan Thailand yang mana ketika waktu itu mereka telah terdahulu merasai nikmat hobi ini dengan melakukan pelbagai aktiviti yang berkaitan dengan hobi basikal tua ini. Pada hemah saya aktiviti dan penganjuran program sebeginilah yang akan membuatkan hobi Basikal Tua ini terus berkembang biak dan tidak akan terpadam sampai bila-bila. Bagi saya untuk hobi ini terus berkembang dan di warisi dari generasi ke genarasi akan datang ianya perlu melihat segala aspek yang positif dan dari pelbagai arah. Seandainya kita mahu ianya terpadam dan hanya melihat hobi ini sekadar hobi pemenuh masa kita biarkanlah ianya begitu sahaja yang hanya menjadi penatap mata bagi penduka lara yang menjadikan ia sekadar penghibur.

Basikal Tua Medium Mengukuhkan Ikatan Persahabatan.

Melalui hobi yang unik ini, kita akan dapati ianya bukan sahaja hobi yang akan memenuhkan masa lapang dan mengosongkan poket kita tetapi ia juga sebagai agen penyatuan ikatan perpaduan serta persahabatan di kalangan pencinta hobi ini. Sama seperti hobi-hobi yang lain, atas dasar hobi biasanya kita akan meletakkan diri kita sama sahaja antara satu sama lain. Tiada siapa yang lebih atau kurang. Besar pangkat atau pencacai yang hina. Pada saya semua sama kerana atas dasar manusia juga kita dilahirkan atas fitrah yang sama. Namun yang membezakannya adalah budi pekerti, saling bekerjasama dan yang paling penting hormat menghormati sesama insan. Sekiranya sikap ini di amalkan dengan baik pastinya apa jua yang kita ceburi dan minati akan mendatangkan manfaat dan kebaikkan kepada kita.

Sebagai contoh  Program Kayuhan 2 Negara yang telah dilaksanakan pada tahun 2010 oleh Kelab Basikal Tua Batu Berendam degan kerjsama Komuniti Sepeda Tua Indonesia telah memperkukuhkan ikatan perpaduan dan persahabatan antara dua negara secara tidak langsung melalui hobi Basikal Tua ini. Program yang dianggap mungkin pertama di Malaysia menggunakan agen Basikal Tua sebagai alat merapatkan hubungan sesebuah Negara adalah sesuatu yang menakjubkan. Kalau di peringkat Nasional kita boleh lihat baru-baru ini program yang dianjurkan oleh Kelab Basikal Klasik Johor iaitu Kayuhan Terowong Masa 2011 yang bertempat di Pontion Johor telah berjaya untuk mengumpulkan seramai 220 peserta terdiri daripada pelbagai bangsa dan golongan masyarakat untuk sama-sama merasai dan menghayati hobi ini dengan perasaan teruja mengayuh Basikal Tua/Klasik mereka yang disayangi bersama-sama rakan pecinta hobi ini. Banyak lagi program-program kayuhan basikal tua yang telah di anjurkan oleh Kelab-kelab basikal tua negeri-negeri lain seperti Getuas, Basikal Klasik Pulau Pinang yang telah menarik banyak penyertaan dari negeri-negeri lain.

Program seperti ini adakah penyebab perpecahan atau penyatuan sesama pecinta hobi ini.

Acara Sebegini Pengukuh Ikatan Persahabatan Serumpun. Salahkah Dianjurkan Lagi?

Apakah itu Basikal Tua?

Bermacam-macam panggilan yang di guna pakai untuk sebutan Basikal Tua. Ada yang memanggil Basikal Tua mengikut tempat dan loghat tempatan. Di negeri kelahiran saya ia di panggil Basikal Kargo kerana dahulunya basikal ini digunakan untuk mengangkat barang-barang yang agak berat seperti beras, arang, kayu getah, mengangkat tong getah dan sebagainya. Disebabkan ianya sebagai alat pengangkutan utama yang mudah digunakan dan harganya yang berpatutan berbanding harga motorsikal pada zamannya maka ia di gelar basikal kargo. Disebelah utara penduduk setempat memanggil basikal sebagai “Gerek” dan disebabkan itu ia di panggil “Gerek tua”. Di negara jiran kita, Indonesia misalnya bermacam-macam panggilan di gunakan untuk basikal tua ini. Antaranya basikal tua di panggil Sepeda Tua atau Sepeda kuno. Berbagai-bagai bentuk panggilan digunakan untuk Basikal Tua ini namun apa yang penting ia merupakan sebuah alat pengangkutan yang masih diguna pakai sejak dari dahulu hingga sekarang.

Sewaktu saya baru menjebakkan diri saya dalam hobi ini, ada yang memberi nasihat dan berkata kepada diri saya bahawa untuk koleksi basikal tua itu perlulah basikal buatan England atau buatan Eropah. Kerana basikal buatan Negara Eropah ini terkenal dengan kualiti dan terbaik dari segi sejarahnya. Namun setelah saya menyelami dan selidiki tentang basikal tua ini, barulah saya sedar bahawa basikal tua itu “TIDAK” semestinya basikal buatan Eropah. Apa yang penting pada basikal tua itu adalah ciri-ciri yang boleh dikatakan dan di panggil basikal tua. Misal contoh Basikal Raleigh Chooper dengan Raleigh Sport keluaran tahun 70an. Walaupun kedua-duanya keluaran tahun 70an tetapi Raleigh Chooper tidak di panggil basikal tua berbanding Raleigh Sport. Inilah yang dimaksudkan oleh saya tadi ciri-ciri untuk panggilan Basikal Tua. Namun secara keseluruhan semua basikal yang usianya sangat tua boleh dikategorikan sebagai basikal klasik atau antik. Saya sendiri mempunyai sebuah basikal tua buatan Negara China keluaran tahun 60an dan kualitinya setanding dengan buatan Eropah.

Ada generasi muda atau baru yang ingin berjinak-jinak dengan hobi ini bertanyakkan kepada saya sekiranya ia ingin menyertai program kayuhan basikal tua, bolehkah ia memakai basikal keluaran terbaru yang mempunyai ciri-ciri basikal tua. Bagi saya kalau itu yang mereka mampu adakan atau miliki tidak menjadi kesalahan. Sebab hobi basikal tua ini bukan hanya fokus kepada hal basikal sahaja tetapi mencakupi banyak perkara dan aspek yang boleh kita serapkan dalam hobi ini. Tetapi lihat pada tempat, masa dan waktunya misalnya kayuhan basikal tua tetapi yang di bawa berkayuh basikal “Fixie” atau “Basikal Gunung” kan tidak sesuai. Begitu juga sebaliknya sekiranya program kayuhan jelajah bukit dibawanya basikal tua disitu. Tetapi lain orang lain ragamnya. Pada saya boleh pada yang boleh.

Basikal Tua atau Kargo digunakan untuk membawa barang.

Acara  basikal tua boleh bawa botol lama, Acara botol lama boleh tak bawa basikal tua? hehehe

Peminat baju tentera lama boleh pakai baju semasa acara basikal tua.

Tapi kalau pakai saja-saja tanpa acara boleh tak?


Adakah program kayuhan atau liputan untuk melestarikan basikal tua penyekat rezeki

dan juga mata pencarian seseorang serta menyebabkan harga barang basikal tua meningkat?

Yang Tua Dihormati Yang Muda Disayangi.

Dalam agenda untuk melestarikan nostalgia basikal tua ini, peranan pelbagai pihak amatlah diharapkan. Terutama generasi penghobi basikal tua terdahulu. Mereka inilah yang sepatutnya menjadi mentor dan pembimbing kepada generasi baru seperti saya yang masih mentah tentang selok belok basikal tua ini. Bak kata orang dulu-dulu “Yang Tua dihormati, Yang muda disayangi” barulah wujud ikatan persahabatan untuk saling bantu membantu antara satu sama lain. Janganlah merasakan kerana kita banyak ilmu kita hebat berbanding orang lain. Ilmu yang baik jika dikongsi akan terus berkembang sampai bila-bila. Kewujudan sifat tamak dan dengki boleh menjadikan hobi ini menjadi suram dan terkubur begitu sahaja. Saya sempat bertanyakan kepada orang-orang lama yang mempunyai banyak pengalaman dalam hobi ini. Rata-rata menyatakan tanpa generasi muda yang bersemangat jitu dan berani untuk melaksanakan program-program berkaitan hobi ini pastinya hobi ini akan tenggelam timbul tanpa ada apa-apa perkembangan. Walhal idea orang-orang lama sangat banyak dan menarik bagi meneruskan kesinambungan hobi ini. Yang tiada hanyalah kudrat dan tenaga untuk menjayakannya. Inilah peranan generasi muda untuk membantu setiap program yang hendak dilaksanakan. Membantu merealisasikan impian dan harapan generasi terdahulu yang tidak lagi mampu dari segi tenaga dan keringat dalam menjayakan sesuatu program.

Generasi tua dan muda sama-sama meminati hobi Basikal Tua. Tak salah kan?

Berbeza Bangsa Dan Budaya Turut Meminati Hobi ini…

Usia, Jarak dan tempat bukan halangan untuk sama-sama melestarikan hobi basikal tua kerana

kebanggaan dan kepuasan yang akan lahir selepas itu takkan terucap….

Harapan Melihat Hobi Basikal Tua Terus Bersinar

Saya berpendapat dengan beberapa rakan yang melihat bahawasanya hobi basikal tua ini dapat pergi lebih jauh lagi sekiranya ada rasa cinta yang mendalam untuk melihat hobi basikal tua ini terus bersinar dan berkelipan di Negara Malaysia yang tercinta ini. Usaha dan kerjasama yang berterusan di kalangan peminat dan pecinta hobi ini untuk sama-sama berganding bahu untuk terus melaksanakan program atau aktiviti yang sihat berkaitan basikal tua ini secara tidak langsung akan memartabatkan basikal tua sebagai sesuatu yang penting bukan hanya sekadar sesuatu yang unik sahaja. Apa yang penting tanyakan kepada diri sendiri “ Dalam usaha memartabatkan basikal tua ini apakah yang telah kita lakukan selama kita menjadi pecinta hobi ini terhadap masyarakat dan Negara? Jawapannya ada dalam kotak fikiran dan hati masing-masing. Bagi diri saya amatlah sedih sekali hobi yang kita minat ini hanya sekadar menjadi bahan untuk ditatap dan dilihat oleh diri sendiri.

Dimata anak-anak basikal tua hanyalah sebagai alat pengangkutan tetapi suatu hari nanti dia akan mengerti

apakah tujuan program ini dianjurkan dan sejarahnya dia yang merasakan kerana dia turut berada disitu….

“ BERSAMA-SAMA KITA USAHA DAN MENGGEMBELING TENAGA UNTUK TERUS MELESTARIKAN NOSTALGIA WARISAN SILAM INI AGAR MENJADI SESUATU MEDIUM YANG BERHARGA DI MATA MASYARAKAT DAN NEGARA”