Archive for the ‘Announcement’ Category

Khusyairie (BSA Para-trooper) minat basikal antik – akhbar Utusan Malaysia

Salam sejahtera buat semua pencinta basikal tua.

Paparan ini saya terbaca di akhbar Utusan Malaysia pada 16 hb Januari yang lalu dan berasa terpanggil untuk menyiarkannya untuk paparan dan berkongsi cerita mengenai basikal tua. Saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada saudara Khusyairie kerana ceritanya telahpun tersiar di akhbar tersebut. Terima kasih juga kerana memberikan keizinan untuk saya menyiarkan kembali cerita ini di blog NBT untuk tatapan sahabat-sahabat di mana jua mereka berada.

KHUSYAIRIE Kevin Kessler menunjukkan basikal antik kesayangannya yang pernah digunakan tentera British suatu ketika dulu di Melaka, baru-baru ini.

KHUSYAIRIE Kevin Kessler menunjukkan basikal antik kesayangannya yang pernah digunakan tentera British suatu ketika dulu di Melaka, baru-baru ini.

 Oleh RIZANIZAM ABDUL HAMID

MELAKA 16 Jan – ”Pernah ada orang menawarkan saya sebanyak RM15,000 untuk membeli sebuah basikal saya yang digunakan sewaktu zaman British, Perang Dunia Kedua. ”Namun, saya tetap tidak mahu menjualnya kerana minat yang begitu mendalam terhadap basikal antik ini,” kata Khusyairie Kevin Kessler, 36.

Kerana minat mengumpul basikal antik, Khusyairie tidak terpengaruh dengan wang ringgit dan tidak sanggup mengambil keputusan untuk menjual basikal yang dimilikinya. Beliau kini mempunyai koleksi 15 buah basikal antik termasuk sebuah basikal keluaran Birmingham Small Arms Company (BSA).

Apa yang uniknya, basikal tersebut boleh dilipat dua untuk digalas dan digunakan oleh askar payung terjun British semasa Perang Dunia Kedua. Ketika menceritakan bagaimana minatnya bermula, Khusyairie berkata, pada awalnya, dia menggemari motosikal jenis klasik pada tahun 2002.

”Masa itu, saya bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di sini dan banyak bergaul dengan rakan yang lebih tua yang mempunyai minat yang sama. Kebetulan pula, ayah saya juga amat meminati koleksi motosikal antik dan dia sentiasa memberi dorogan kepada saya”. Katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Tambahnya, motosikal pertama yang dibelinya ialah jenis Norton Featherbed 500cc keluaran tahun 1960-an pada harga RM15,000. Menurutnya lagi, selang beberapa tahun, dia membeli motosikal keduanya jenis Sunbeam pada harga RM30,000.

”Namun lama kelamaan saya mula sedar memerlukan kewangan yang tinggi untuk terus memiliki motosikal antik.  Tidak lama selepas itu, pada 2008, saya mula beralih meminati basikal antik yang tidak memerlukan perbelanjaan yang tinggi,” katanya.

Menurut Khusyairie, basikal antik pertama dimilikinya ialah basikal kecil jenis Universal keluaran Belanda yang telah berusia lebih 30 tahun. Kerana minat yang mendalam, menurut Khusyairie, dia juga telah meminta bantuan pakciknya yang berada di Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan basikal idamannya, iaitu keluaran BSA.

”Kebetulan pula, ada seorang pengumpul barangan antik di sana ingin menjualnya dan pakcik saya telah membelinya dan menghadiahkannya kepada saya. Setelah lebih setahun mengumpul, saya mempunyai 15 buah basikal termasuk jenis Chopper, Sunbeam dan Rally,” katanya lagi.

Menurut Khusyairie, hanya terdapat empat buah basikal jenis BSA sahaja di negara ini dan hanya basikal miliknya yang berada dalam keadaan asal yang dilengkapi dengan tayar asal dan bayonet.

Selain memiliki basikal perang itu, beliau juga memiliki sebuah basikal yang digunakan kakitangan pos sekitar tahun 1960-an dan sejumlah basikal Raleigh buatan England. Tambahnya, cara dia mendapatkan basikal tersebut juga bergantung kepada nasib.

”Kebanyakan basikal yang saya peroleh bukannya dibeli dalam keadaan baik dan saya terpaksa pula membaikinya. Masa dan kos membaikinya pula bergantung kepada keadaan kerana bukan senang untuk mencari alat ganti sama seperti yang asal,” katanya. Menurut Khusyairie lagi, dia telah menghabiskan kira-kira RM15,000 untuk membaiki semua basikal antik miliknya itu demi memenuhi hobi.

”Saya akan teruja setiap kali bila mendengar orang bercakap tentang basikal antik dan buat masa ini lebih tertumpu kepada basikal antik dari dalam negara,” katanya lagi.

Acara Kayuhan Nostalgia Basikal Tua di Putrajaya

 KBTBB beraksi dengan basikal tua masing-masing 

Putrajaya – Kelab Basikal Tua Batu Berendam (KBTBB) dari negeri Melaka telah mengadakan satu acara kayuhan di sekitar Putrajaya pada 26hb Januari yang lalu sebagai satu usaha simbolik untuk menghidup dan melestarikan kembali nostalgia basikal Tua di Malaysia. Sebanyak 22 buah basikal tua dari jenis Raleigh, New Hudson, BSA, Robinhood dan Hercules dari era 40an – 60an telah menyelusuri Dataran Putra sehingga ke PICC. Ahli-ahli KBTBB yang berpakaian lengkap berkonsepkan era 50an – 60an telah berjaya mencuit hati dan perhatian pengunjung sehinggakan ada yang sanggup bergambar dan cuba merasai pengalaman mengayuh basikal tua.

Untuk cerita selanjutnya layari http://basikalmalaya.wordpress.com